VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa imej atau karakter Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu ‘dibunuh’ kerana sudah buruk di mata rakyat susulan kegagalannya sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, seluruh negara menyaksikan Parlimen digantung ketika Muhyiddin mentadbir hingga memaksa campur tangan Raja-Raja Melayu bagi menyelamatkan Demokrasi Berparlimen.
“Tak payah bunuh karakter Muhyiddin pun. Presiden Bersatu itu yang ‘koyak’ sendiri.
“Satu negara menyaksikan tak pasal-pasal Parlimen digantung. Sampai Raja-Raja Melayu pula yang terpaksa selamatkan Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Umno melakukan strategi membunuh karakter Presiden Bersatu dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan beliau mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Shahrir mendakwa, Muhyiddin juga sanggup membuat tawaran kepada pembangkang secara terbuka demi menyelamatkan jawatannya, namun ditolak oleh pembangkang.
“Nak selamatkan jawatan, buat tawaran kepada pembangkang yang dikhianatinya sendiri.
“Mana mahu pembangkang nak tengok Muhyiddin kekal sebagai PM.
“Dan Wan Saiful janganlah pula nak teruskan main ugut. Minta Presiden Bersatu/Pengerusi PN tekan butang je lah,” katanya.
Terdahulu Wan Saiful turut mendakwa kejayaan Bersatu dan Pas mengadakan muzakarah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa punca Umno mengalihkan sasarannya untuk mengecam Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, Umno mencemburui kejayaan muzakarah tersebut lantas menyasarkan pembunuhan karakter terhadap Presiden Pas berkenaan, sebagaimana yang dilakukan Muhyiddin Yassin sebelum ini. – Malaysiapost

