SEORANG remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai menikam mati bayi lelakinya semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Wad Bersalin Hospital Kemaman, Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Proses itu dilakukan di hospital berkenaan susulan suspek masih menerima rawatan selepas melahirkan bayi sulungnya, pagi semalam, lapor Utusan Online.
Terdahulu, Tengku Eliana tiba di Hospital Kemaman kira-kira jam 12.40 tengah hari dengan diiringi anggota polis.
Semalam, media melaporkan, seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan mati dengan kesan tikaman di dada dipercayai dibunuh ibunya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum laporan polis dibuat kira-kira pukul 10 pagi.
Siasatan awal polis mendapati remaja yang sudah tidak ke sekolah sejak beberapa tahun lalu itu dipercayai berada seorang diri di rumahnya ketika melahirkan bayi tersebut. – Malaysiapost

