Nurul Huda Abhar
SEBUAH video memaparkan kanak-kanak menangis dan tidak melepaskan bapanya seorang anggota tentera keluar bertugas menarik perhatian ramai, selepas tular di media sosial baru-baru ini.
Video berdurasi 43 saat tersebut turut menerima reaksi daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata, beliau tersentuh melihat anggota tentera terpaksa berpisah dengan ahli keluarga, sedangkan anak-anak mereka belum faham erti tugas.
“Tersentuh hati tengok video ni. Kesian adik kecil tu sebab dia belum faham sepenuhnya tanggungjawab ayah.
“Kesian juga ayah yang terpaksa tinggalkan anak-anak demi tugas. Saya tahu di sebalik senyuman tu, hatinya sendiri berat. Terima kasih. Semoga pengorbanan besar dibalas Allah SWT,” kata Hishammuddin di ruangan komen.
Dalam video itu, seorang kanak-kanak perempuan yang memakai pakaian sukan sekolah menangis sambil menghalang bapanya keluar bertugas sambil diperhatikan dua lagi adiknya.
Bapanya yang memakai uniform Tentera Darat Malaysia (TDM) dan menggalas beg besar hanya tersenyum dan memujuk kanak-kanak itu memulangkan semula baldi yang ‘dibawa lari’.
Rata-rata pengguna media sosial turut terkesan tersentuh melihat reaksi kanak-kanak itu, dan berpendapat mereka yang terpaksa meninggalkan keluarga dalam tempoh masa lama untuk bertugas adalah hebat.
“Aduhh kering sungguh hati abam, memang abam insan terpilih utk menjaga benteng negara.. Semoga Allah membalas segala pengorbanan anda.. tak semua orang sanggup untuk meninggalkan isteri dan anak-anak demi keamanan negara,” kata Islamuddin Eiss.
“Semoga dipermudahkan segala urusan fighter, abah mana yang tak sedihkan, anak-anak pulak manja dengan kita, naik motor menitik air mata,” respon Krol Ujang.
“Itulah pengorbanan yang sukar dicari ganti. Agak terharu juga. Biarlah gambar yang berbicara. Allahuakbar.. kita doakan yang baik-baik perwira kita,” kata Sutera Maju. – Malaysiapost

