SERAMAI 50,062 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 1.4 peratus sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat tengah malam tadi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jumlah pendaftaran kanak-kanak bagi program berkenaan juga menunjukkan peningkatan sejak ia dilancarkan 3 Februari lalu.
“Pendaftaran meningkat 30,000 semalam. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memberi penerangan mengenai faedah vaksin kepada anak anda. Malah dalam Facebook. #PICKids,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Sementara itu, berdasarkan data dalam portal COVIDNOW, sebanyak 8,643 dos harian diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun semalam.
Manakala, jumlah keseluruhan vaksin Covid-19 yang diberikan setakat ini adalah 64,264,073 dos dengan 25,724,809 lengkap divaksinasi dan 26,127,997 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, serta 12,616,238 menerima dos penggalak.
Jumlah itu menjadikan keseluruhan 80 peratus populasi di Malaysia sudah mendapat vaksinasi dengan 78.8 peratus lengkap dua dos dan 38.6 peratus telah menerima dos penggalak. – Malaysiapost

