JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menumpaskan sindiket penjualan sijil cuti sakit palsu dengan penahanan empat suspek dalam beberapa serbuan berasingan kelmarin.
Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, serbuan dijalankan di Seksyen 7, Seksyen 17 dan Taman Sri Muda, antara 10.45 malam Isnin hingga 1.30 pagi semalam.
Menurutnya, serbuan pertama berjaya menahan tiga suspek membabitkan seorang lelaki dan dua wanita tempatan yang dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan sijil cuti sakit.
“Hasil daripada tangkapan tersebut telah membawa kepada pendedahan seorang lagi ahli yang terbabit dalam kegiatan pencetakan dan penjualan sijil cuti sakit.
“Serbuan di sebuah rumah di Seksyen 17, Shah Alam berjaya merampas sejumlah dokumen sijil cuti sakit yang telah siap dicetak dan juga peralatan untuk membuat serta mencetak dokumen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil serbuan polis merampas sebanyak 62 sijil cuti sakit palsu, mesin cetak, komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran automatik bank, kertas bertulis jumlah pembayaran pelanggan dan sebungkus kertas A4.
Katanya, hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan kini ditahan reman sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“JSJK Selangor ingin menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu untuk mengambil jalan mudah untuk mengambil cuti.
“Mana-mana pihak sama ada hospital kerajaan, swasta atau syarikat yang pernah menerima sijil cuti sakit palsu disarankan untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

