PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman perlu lebih matang dalam setiap tindakannya terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Teguran disuarakan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan yang berkata, Ahli Parlimen Muar itu sepatutnya lebih tenang dan matang dalam segala tindak tanduknya agar tidak mengeruhkan hubungan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Kita sekarang ini nak menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pastinya kita memerlukan kerjasama yang erat dalam memperkukuhkan PH.
“Jadi saya harap beliau lebih matang dan berhati-hati dalam segala tindakannya kerana kita tidak mahu kontroversi melanda sesama kita sebaliknya kekuatan mesti dipusatkan untuk menentang BN dan PN.
“Jadi saya sangat kesal dengan tindakan beliau itu dan berharap tidak berlaku lagi kerana seolah-olah tindakan beliau itu cuba mencipta naratif perpecahan di kalangan PH, walhal sebenarnya tidak pun,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Minggu lalu, sikap lepas laku Saddiq yang mengkritik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ulu Tiram yang juga Naib Pengerusi PKR Johor, S Gopalakrishnan mengundang kecaman daripada para pemimpin PKR.
Selepas Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, Syed Saddiq mendakwa komuniti India di Ulu Tiram mengadu Gopalakrishnan tidak mengambil endah kebajikan rakyat selain bantuan yang sepatutnya dapat tidak diberikan.
Bagaimanapun, Syed Saddiq memohon maaf kepada PKR dan Gopalakrishnan selain mengakui terkhilaf berkenaan kenyataan sebelum ini. – Malaysiapost

