MASJID Al-Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang menjelaskan berlaku salah faham berhubung isu saf hadapan solat fardu Jumaat di masjid berkenaan yang tular di Facebook baru-baru ini.
Merujuk hantaran Facebook Abu Al Zahra pada 4 Februari lalu, pihak masjid menjelaskan bahawa pengurusan masjid telah memperuntukkan saf hadapan untuk tiga imam, dua bilal dan orang kenamaan (VIP) iaitu penceramah.
Menurutnya, imam dan bilal itu juga adalah sebahagian Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang bertugas bagi memastikan kelancaran jemaah supaya mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan pihak berkuasa.
“Jadi dimaklumkan bahawa gambar yang tular di media sosial pada jam 1.19 tengah hari itu yang menunjukkan ruang kosong tersebut adalah untuk AJK yang sedang menjalankan tugas seperti menjaga pagar utama masjid dan menyusun atur kedudukan saf jemaah.
“Manakala VIP yang dimaksudkan telah pun berada di ruang disediakan,” menurut masjid tersebut menerusi kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sekiranya AJK terlibat gagal memenuhi ruang hadapan itu selepas azan pertama disebabkan terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan, maka jemaah lain boleh maju ke hadapan bagi memenuhi saf tersebut.
“Sehubungan itu, besar harapan kami agar semua pihak mendapatkan kesahihan sesuatu isu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang sebaran di media sosial.
“Semoga dengan kenyataan rasmi ini dapat menjelaskan keadaan yang sebenar dan tidak mengeruhkan lagi isu tersebut. Akhir kata, pihak masjid memohon maaf di atas salah faham yang berlaku dalam hal ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengguna Facebook mendakwa diminta oleh pihak pentadbiran sebuah masjid untuk beralih saf selepas berada di saf hadapan.
Lelaki itu yang menggunakan nama Abu Al-Zahra berkata, pada Jumaat lalu, dia yang datang lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat terus ke saf hadapan kerana saf itu masih kosong.
Bagaimanapun dia kemudian diminta untuk beralih saf kerana didakwa saf hadapan adalah untuk VIP dan AJK masjid. – Malaysiapost

