Pemimpin Amanah rayu Agong isytihar darurat, tangguh PRN Johor

0
1

SEORANG pemimpin Amanah merayu Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Johor bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Datuk Mazlan Aliman berkata pengisytiharan darurat perlu dikuatkuasakan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang kini mencecah sehingga lima angka.

“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk kebimbangan dari varian Omicron seperti dimaklumkan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, patik merayu pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani berkata, pengisytiharan darurat pernah dilakukan ketika PRN Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Gerik atas alasan yang sama.

Justeru katanya, keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk mengehadkan pergerakan rakyat melalui SOP dan lain lain.

“Nyawa rakyat adalah segala-galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Hari ini kes harian Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan mendadak apabila melebihi lima angka.

Sebanyak 11,034 kes dilaporkan hari ini, iaitu peningkatan hampir 1,000 kes dipercayai akibat penularan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi amaran bahawa kes akan terus melonjak kepada 15,000 dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here