PKR menuntut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberikan jawapan terperinci berhubung Transit Acquirer Sdn Bhd (TASB) yang ingin membangunkan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai Bersepadu (ICPS) untuk sistem pembayaran kesemua tambang kereta api dan bas di seluruh Lembah Klang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau pernah membangkitkan isu berkenaan sebelum ini kerana projek itu telah membelanjakan ratusan juta dari tahun 2015 sehingga tahun 2018 dan beroperasi pada tahun 2019.
Namun katanya, sehingga kini tiada sebarang sistem yang dibangun telah digunapakai dan ia ternyata suatu pembaziran dana rakyat serta kerugian besar kepada negara.
“Saya dimaklumkan awal tahun ini Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOFI) mahu memulakan semula projek ini dan telah mengeluarkan satu tender untuk mengenyahkan 70 peratus pemilikan dalam TASB dianggar bernilai RM400 juta.
“Terdapat banyak kekeliruan yang perlu dijawab segera oleh Menteri Kewangan berhubung tender ini. Antaranya:
(a) Berdasarkan dokumen tender, TASB dikatakan bernilai RM400 juta. Atas dasar apa?
(b) Kenapa perlu dilupuskan pemilikan TASB yang mampu menjadi aset strategik negara? Kerajaan sepatutnya memilik dan menguruskannya.
(c) Kenapa jual 70% pemilikan TASB? Siapa yang menentukan sebanyak 70%? Kenapa tidak 0% atau 100% dari TASB?
(d) Kenapa MOF memberikan konsesi kepada TASB selama 20 tahun?
(e) Kenapa setiap operator transit perlu membayar kepada TASB bilamana setiap operator transit telah mempunyai vendor yang melaksanakan platform pembayaran terbuka dalam mendukung agenda nasional?
(f) Dalam dokumen-dokumen tender, dinyatakan di situ bahawa pembida yang berjaya akan ditentukan MOFI tanpa sebarang alasan, dan ianya tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara MOFI. Ini jelas satu peluang dan alasan untuk salahguna kuasa dan rasuah.
“Justeru adalah jelas bahawa TASB tidak sepatutnya dijual sehingga kerugian yang berlaku sebelumnya disiasat dan dipertanggungjawabkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anwar berkata MOFI tidak sepatutnya cuba untuk menutup kerugian dengan menjual syarikat tersebut (berkemungkinan kepada kroni) yang diarah kerajaan di bawah Exclusive Rights Agreement (ERA) (akan ditandatangani) dengan konsesi selama 20 tahun.
“Operator-operator transit harus membayar kepada TASB tatkala mereka telahpun melaksanakan sistem tersebut. Saya tuntut penjelasan terperinci dari Menteri Kewangan,” katanya. – Malaysiapost

