MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan gelombang Omicron bukan konspirasi beliau untuk menafikan hak umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Sebaliknya beliau berkata gelombang Omicron telah melanda banyak negara di dunia termasuk negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 secara mendadak.
“Gelombang Omicron ini bukan hanya berada di Malaysia, bukan konspirasi daripada KJ untuk kita nafikan Hari Raya tetapi sesuatu yang dah kena pada semua negara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Khairy berkata Singapura melaporkan lebih 13,208 kes baharu jangkitan Covid-19 pada 4 Februari 2022, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.
Pada 5 Februari pula, katanya, Korea Selatan melaporkan kes harian sebanyak 38,670, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun (102,275 kes).
Sementara itu beliau berkata KKM telah mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF), antara lain bagi memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang Omicron.
Khairy berkata RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.
Antaranya, menurut beliau, menambah katil dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan
menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.
“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan
Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), yang akan membuat pelaporan terus kepada Menteri Kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

