Zahid sebenarnya ahli zoologi pengkhususan sesumpah, kata Ketua Pemuda PAS

0
1
kredit: harakah daily

SEORANG Ahli Parlimen PAS melabel Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli zoologi yang sebenar dengan pengkhususannya sesumpah.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata ini kerana Ahmad Zahid dakwanya boleh bertukar warna sepantas kilat, selain bersikap seperti seorang ahli sihir.

Ia bagi membalas kenyataan Ahmad Zahid yang menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mengesyorkan Presiden PAS itu menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi, susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno baru-baru ini.

“Bila Presiden kami balas kiasan seorang veteran Umno yang menyifatkan PAS cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri (Ahmad Zahid) sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas? Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam media melaporkan Ahmad Zahid berkata beliau mengikuti banyak wawancara dan ucapan Abdul Hadi yang sering menggunakan kiasan berkaitan haiwan.

“Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semasa melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) di Iskandar Puteri, malam kelmarin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here