SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengejar penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Gombak, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, mangsa yang terlibat dalam operasi motosikal mengejar penunggang terbabit dengan motosikal sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain, lapor Harian Metro.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Difahamkan, mangsa adalah anggota berpakaian preman yang menyertai operasi terbabit dan ditugaskan untuk menghalang pengguna jalan raya yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di SJR terbabit.
Mangsa yang menunggang Yamaha RXZ dikatakan mengejar penunggang Yamaha 125Z terbabit sejauh kira-kira lima kilometer sebelum motosikalnya bertembung dengan kereta.
Mayatnya dibawa ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat. – Malaysiapost
Picture kredit: Media sosial
