Badan koordinasi T-VET kerajaan-industri bina ekosistem lebih bersepadu

0
1

PENUBUHAN Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara kerajaan dan industri, sebagai badan perantara bagi mewujudkan ekosistem TVET yang lebih bersepadu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan badan perantara itu juga selari agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membangunkan modal insan luar bandar berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.

“Pihak KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara dipengerusikan Perdana Menteri yang telah memperaku penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

“Penubuhan GITC yang diterajui pihak industri membolehkan pihak industri bersama kerajaan menggalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan berkualiti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi Hub Kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Institusi tersebut adalah Kluster Integrasj Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, UniKL sedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.

Tambahnya, untuk rekod, KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

“Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.

“Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).

“Kolaborasi itu memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.

“Inisiatif-inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here