Duta Timur Tengah dahului Kabinet, abaikan yang wajib

0
1

Salahuddin Ayub

PENGUMUMAN Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Qatar baru baru ini untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Taliban Afghanistan menimbulkan beberapa persoalan dan mengejutkan ramai orang.

Perlu diingat, Afghanistan bukan pun berada di Timur Tengah di mana Haji Hadi patut memberi tumpuan wajib sebagai Duta Khas Timur Tengah di mana beliau membisu selama ini.

Mengapa selama ini Timur Tengah yang menjadi kewajipan perhatian Haji Hadi diabaikan, tetapi tiba-tiba Afghanistan yang di luar Timur Tengah pula diberi komitnen dan perhatian.

Isu masalah di Timur Tengah seperti Yaman kawasan yang wajib beliau tumpu diabaikan, yang sunat, Afghanistan pula didahulukan!

Tidakkah Haji Hadi ingat betapa ramai rakyat Malaysia belajar di Yaman yang kita patut kenang dan berterima kasih pada negara tersebut.

Tindakan gopoh serta aneh Haji Hadi yang mewakili Malaysia diperhati seluruh dunia memberi imej yang buruk kepada Negara.

Pertamanya, kerajaan Malaysia masih tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afganistan.

Selain itu, adakah Kabinet dan kerajaan Malaysia telah memberi kuasa kepada Abdul Hadi untuk membuat kenyataan sedemikian bagi pihak kerajaan?

Komitmen sedemikian mesti diperakui oleh Kabinet kerana banyak implikasi yang berkaitan dengan protokol.

Dasar luar negara Malaysia ditetapkan oleh Wisma Putra dan menjadi tanggungjawab Menteri Luar,  pengumuman komitmen terbabit adalah satu di luar bidang kuasa beliau. 

Walaupun kita sepakat dan bersetuju bahawa rakyat Afganistan perlukan bantuan, tetapi ia harus mengikuti prosedur dan protokol yang betul.

Dalam prosedur biasa, Malaysia akan menunggu penelitian dan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap satu satu kerajaan dalam negara, sebelum memberi komitmen kepada kerajaan kontroversi baharu seperti Afghanistan.

Nampaknya Abdul Hadi telah terburu buru melebihi kuasanya sebelum keputusan Kabinet bertindak sedemikian.

Setelah begitu lama dilihat tidak memainkan peranan sebagai duta, bahkan tidak pun mengadakan lawatan rasmi ke negara Timur Tengah, tiba tiba muncul pengumuman sedemikian untuk Afghanistan yang terletak di luar Timur Tengah. Mungkinkah hanya kebetulan beliau bertindak terburu-buru dengan PRU15 semakin hampir?

Tokoh Agama biasanya akan membuat tindakan dengan bijaksana, teratur dan berhati-hati, namun kenapa langkah Abdul Hadi kali ini dilihat sangat terburu buru melangkau ketetapan oleh Kabinet Malaysia, bahkan juga ASEAN dan PBB.

Jika Abdul Hadi benar benar peduli terhadap kesengsaraan dihadapi umat Islam di Timur Tengah, mengapa tidak disentuh soal penderitaan kematian ramai yang dihadapi oleh rakyat Yaman yang memang terletak di Timur Tengah, berpunca dari Arab Saudi dan negara barat?

Perang di Yaman adalah perang antara kuasa besar dan negara yang lemah dan kerdil, sehingga berjuta kanak kanak dan orang dewasa berhadapan masalah kekurangan nutrisi serta kebuluran dengan banyak kematian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pentadbiran Taliban di Afganistan dan juga soal krisis di Yaman.

Abdul Hadi juga perlu memberi penjelasan kepada Kabinet dan rakyat Malaysia, kenapa  sebelum ini beliau hilang dari melaksanakan tanggungjawab sebagai duta, namun apabila tiba penguman PRN Johor, tiba-tiba muncul dan membuat pengumuman kontroversi untuk negara di luar kawasan tanggungjawab beliau sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.
.
Penulis ialah Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah
(Artikel ini dipetik dari Facebook penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here