POLIS mengesahkan nahas melibatkan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang maut ketika mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Gombak hari ini.
Nahas kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku di laluan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata nahas berlaku ketika anggota JPJ yang menunggang motosikal mengejar penunggang motosikal yang melarikan diri daripada SJR oleh JPJ di lorong motosikal Plaza Tol Gombak.
“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal (anggota JPJ) dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai katanya, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Kosmo!

