“SAYA ingin menjadi suami yang terbaik buat Fatihah,” ujar penyanyi Usop Mentor, 24.
Ikrar itu dinyatakan Usop selepas sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Nur Fatihah Md Hashim, 25.
Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di Pejabat Agama Daerah Butterworth, Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Pulau Pinang jam 10 pagi, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Harun Idris bersaksikan bapa Nur Fatihah, Md Hashim Nordin dan bapa Usop iaitu Muhammad Noor Ismail.
Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata, dia berharap peminat serta orang ramai yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagiaannya dengan Nur Fatihah sehingga akhir hayat.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terbabit dalam menjayakan majlis ini.
“Saya ingin menjadi suami yang terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya.
Menurup Usop, dia dan isteri tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata.
“Kami serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba. Buat masa ini fokus kami adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” katanya.
Dalam majlis itu, Usop menyerahkan mas kahwin berjumlah RM3,000 beserta tujuh dulang berbalas sembilan daripada pihak Nur Fatihah.
Usop juga menghadiahkan isterinya seutas gelang tangan.
Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 4 November 2021.
Usop dan Nur Fatihah juga akan diraikan dalam dua acara resepsi pada malam ini anjuran keluarga perempuan sementara majlis persandingan di sebelah lelaki akan diadakan pada 13 Februari ini di Kulim, Kedah.
Berkongsi kisah percintaan mereka, perkenalan Usop dan Nur Fatiha mula terjalin sejak dua tahun lalu. – Malaysiapost
Foto kredit: Harian Metro

