Kerajaan tidak wujudkan SOP khusus untuk solat Terawih

0
1
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

KERAJAAN tidak bercadang mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pelaksanaan solat terawih di masjid dan surau di seluruh negara sempena Ramadan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata SOP sedia ada berkaitan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau adalah terpakai bagi pelaksanaan solat terawih.

“Sekarang (pelaksanaan ibadah) masih berjalan mengikut SOP sedia ada, tidak kira sewaktu solat atau berada di kedai makan.

“SOP ditentukan Kementerian Kesihatan (KKM) itu perlu sentiasa dipatuhi dan setakat ini, tiada SOP khusus untuk solat terawih,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyiasat mengenai penyebaran ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (Gaza) di negara ini.

“Jika ia berlaku di mana-mana negeri, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan menghubungi Jabatan Agama Islam negeri untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan ambil tindakan seperti ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Jika ada laporan mengenai ajaran sesat ini di media sosial, kita juga akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kumpulan itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim, yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT dalam mimpinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here