SPRM nafi dakwaan Maszlee pegawai lakukan intimidasi

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dakwaan pegawainya melakukan intimidasi. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPRM berkata, dakwaan yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik sedang disiasat oleh pihaknya. 

“SPRM telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut. 

“SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang. 

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat,” kata kenyataan itu. 

SPRM juga menegaskan, pihaknya tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat.  

“Siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan. 

“Justeru itu, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini,” katanya. 

Semalam, Dr. Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan menyifatkan siasatan SPRM terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk ugutan. 

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here