Bukan Umno mahu jadi ‘Abang Long’ sebaliknya PAS yang mahu

0
2

UMNO menghormati dan tidak menghalang pendirian PAS untuk terus mendukung Perikatan Nasional (PN). 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, meskipun Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan, namun keputusan PAS untuk terus bersama PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mendapat halangan daripada Umno. 

“Hakikatnya tiada yang menghalang untuk PAS terus mendukung PN. Teruskanlah kerana ianya tidak salah pun. 

“Pandangan Presiden PAS saya hormati biarpun dia menyatakan BN yang sudah tidak relevan. Kerana itu juga hak Presiden PAS untuk berkata begitu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas mengenai PRN Johor, Shamsul menegaskan, PRN berkenaan dilaksana berasaskan undang undang tubuh Kerajaan Johor yang kemudiannya diperkenan pembubaran oleh Sultan Johor. 

“Justeru tuduhan ianya adalah   agenda pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ dari Umno dan dari mereka yang tidak berjawatan sangat tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang ” ilmuan ” dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam. 

“Maka jika Presiden PAS berkata tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi balas sekiranya Umno terus menerus melakukan PRN maka kita menghormati pendirian Presiden PAS. 

“Dan sesuai dengan amalan demokrasi kita tidak boleh menghalangnya. Lakukanlah jika itu pendirian PAS. Malah sekiranya PAS ingin lakukannya sekarang  sesiapa pun tidak boleh menghalangnya. Itu juga hak PAS,” katanya. 

Dalam pada itu, Shamsul menyindir PAS yang mengecam Umno walhal pada masa yang sama mahu bekerjasama dengan parti itu. 

“Saya cuma hairan. Dalam keadaan mahu Umno bersama, pimpinan Umno dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab Muafakat Nasional (MN) menjadi hambar. 

“Justeru eloklah PAS melihat diri sendiri. PAS memiliki ramai ilmuan dan ahli agama. Mungkin juga sebab MN tidak sebagaimana seperti diawal penubuhan berpunca dari sikap PAS sendiri. 

“Apa yang jelas. PAS dilihat mahu mengajar Umno. Kerana itu sebenarnya bukan Umno yang mahu menjadi Abang Long. Sebaliknya PAS sendiri,” katanya. 

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong menyifatkan kenyataan Abdul Hadi bahawa Umno umpama itik patah kaki adalah keterlaluan. 

“Berat tuduhannya. Bagaimanapun tuduhan yang dilemparkan pada Umno daripadanya bukanlah suatu yang luar biasa. Thaghut, anti Islam, malah Kafir pun pernah dilemparkannya. 

“Kerana itu bila keluar pula tuduhan Umno umpama Itik patah kaki,  ia juga bukan luar biasa. Kerana itulah cara dan sikap PAS sejak dulu,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here