MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz terus didesak untuk mendedahkan individu bertanggungjawab meluluskan pinjaman tanpa cagaran Maybank kepada Genting Hong Kong.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil berkata Tengku Zafrul perlu memberi penjelasan sama ada beliau terbabit memandangkan dirinya pernah menjadi ketua pegawai eksekutif bank sebelum dilantik ke kabinet.
“(Tengku) Zafrul sila perjelas, adakah perkara ini benar? Dan adakah pinjaman Genting Hong Kong ini dibuat tanpa cagaran ketika kamu menjadi CEO CIMB atau Maybank?,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Zafrul mendedahkan tiga bank tempatan iaitu RHB, CIMB dan Maybank membenarkan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong yang dibuat sebelum pandemik Covid-19 melanda Malaysia.
Mengulas mengenainya, Isham menegaskan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pelabur utama dan pemegang saham majoriti RHB manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula melabur serta pemegang saham majoriti Maybank.
Khazanah Nasional pula pelabur utama dan pemegang saham majoriti CIMB.
“Bank-bank ini telah melabur berbillion ringgit kepada syarikat perkapalan anak syarikat perjudian iaitu Genting Hong Kong yang telah fail bakrupsi. Apa jadi dengan pelaburan-pelaburan ini?
“Pinjaman-pinjaman ini adalah pinjaman komersial yang tidak perlu melalui proses kelulusan kerajaan. Ia diluluskan oleh bank-bank ini.
“Saya dimaklumkan pinjaman yang dibuat oleh bank-bank ini sebelum tahun 2018 adalah bercagaran, namun mungkinkah ada pinjaman dibuat selepas itu tanpa cagaran?,” katanya.
Susulan pendedahan Zafrul itu, Isham turut mempertahankan dakwaan kelulusan pinjaman berkenaan dilakukan ketika zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
“Jangan asyik semuanya nak salahkan Najib. Bukan dia yang luluskan pinjaman-pinjaman ini. Kena tanya Zafrul, mungkin dia yang bertanggungjawab luluskan pinjaman-pinjaman ini sebab masa itu dia CEO Maybank Investment dan CEO CIMB.
“Sekarang rakyat mahu minta keluarkan KWSP i-Citra kamu kata tidak boleh. Tetapi dulu kamu ambil risiko labur duit KWSP kepada syarikat kapal judi boleh?,” katanya. -Malaysiapost

