Gelarlah Umno itik, tapi hakikatnya Umno parti terbesar – Tok Mat

0
2

UMNO tidak kisah dilabel PAS dengan gelaran itik kerana yakin parti itu bukan bangkit semula kerana ‘ubatan mujarab’ PAS.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kebangkitan semula Umno ketika ini adalah kerana dukungan orang Melayu terhadap parti itu, selain disebabkan prestasi buruk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi mereka yang menggelar Umno dengan pelbagai gelar, itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

“Umno masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia. Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS.

“Tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap Umno, dan kerana buruknya prestasi kerajaan PH dan PN,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu Mohamad berkata, tanpa Umno, PAS juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan hari ini.

“PAS tahu, tanpa Umno ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam Kerajaan Persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika PAS berasakan Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya. Biarlah rakyat juga memutuskan sama ada PAS dan Perikatan Nasional (PN) itu relevan lagikah atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan atas pelbagai sebab strategik dan bukan kerana ia kehendak ‘kluster’ tertentu dalam Umno.

Jelasnya, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mempunyai sebab tersendiri bagi mendapat mandat baru dan ia bukan urusan parti lain untuk mempersoalkannya.

“Beliau (Hasni) diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai keadaan dan keperluan, bagi pembubaran DUN.

“Menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh Umno sahaja.

“Umno bukan seperti parti lain. Tiada ‘wala’ kepada Presiden dan tiada seorang yang berkuasa memutuskan segalanya. Ia adalah parti untuk semua dan bukan dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja,” katanya.

Mohamad yang juga Pengarah PRN Johor berkata, apabila Umno memutuskan menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma hanya 12 Ahli Parlimen Umno sahaja yang akur dan ia bukti demokratiknya parti itu.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang beranggapan, tindakan Umno yang seolah-olah mengetepikan parti itu umpama ‘itik patah kaki’ yang mahu berenang sendiri selepas sembuh.

Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan Umno itu sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).

“PAS bukan mahu mengajar itik berenang, kita cuma nak selamatkan itik yang patah kaki dalam PRU-14.

“Tetapi, malangnya apabila kaki sudah sembuh, itik itu mahu berenang sendiri dan tinggalkan kita. Benda ini tidak bermoral,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here