Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Abang Muhammad Salahuddin

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang meninggal dunia, malam tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Abang Muhammad Salahuddin ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” kata hantaran itu hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada Sarawak serta negara.

Abang Muhammad Salahuddin yang berusia 100 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya, pada jam 11.40 malam tadi.

Allahyarham merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali, dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua.

Lahir pada 27 Ogos 1921, beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak daripada 1977 hingga 1981 dan dilantik semula menjawat jawatan itu pada 2001 hingga 2014. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here