MALAYSIA menerima 624,000 dos vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerusi penghantaran pertama di Kompleks Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, vaksin jenis mRNA Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan bagi Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang bermula Februari ini.
Menurut KKM bekalan vaksin itu tiba dengan pesawat TH383 milik Raya Air yang selamat mendarat pada jam 7:15 pagi tadi.
“Perjalanan vaksin dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut dan DHL, peneraju dalam industri logistik.
“Vaksin ini telah dibawa dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
KKM juga memaklumkan, sebanyak 72 kotak Sotbox Vaksin akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, WPKL, WP Putrajaya, WP Labuan Selangor, Kelantan dan Terengganu pada hari ini.

Menurutnya, kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.
“Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Menurut KKM, semua vaksin Covid-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara, termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan.
“Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini.
“Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (Kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.
“Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari 5 hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera,” katanya.
KKM memaklumkan sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera dan melalui kaedah itu, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.
“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.
“Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

