
PAKATAN Harapan (PH) kekal kukuh walaupun PKR akan menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Tegasnya, keutuhan hubungan PKR, DAP dan Amanah dapat dilihat apabila ketiga-tiga parti bersetuju menggerakkan kempen secara bersama dan menerusi gesaan supaya prosedur operasi standard (SOP) PRN dilonggarkan supaya ceramah bersemuka dibenarkan.
“Ramai lupa PKR, DAP dan kepimpinan Amanah yang waktu itu di dalam PAS mempunyai sejarah kerjasama panjang sejak PRU 1999 hingga 2018 dengan bergabung dalam pelbagai bentuk, iaitu Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan PH.
“Biarpun nama gabungan berbeza namun pimpinan PKR, DAP dan Amanah yang bersama hari ini adalah watak-watak sama mengharungi pelbagai ujian politik.
“Saya penuh yakin PH akan terus ‘compact’ dan penggunaan logo berlainan tidak akan memadam kerjasama politik PKR, DAP dan Amanah bahkan terus kukuh,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Semalam Amanah dan DAP seakan berkecil hati susulan keputusan PKR menggunakan logo sendiri, bukan lambang PH dalam PRN Johor.
Malah, kedua-dua parti itu berpendapat setiap parti komponen PH perlu ‘duduk bersama-sama’ sewaktu susah mahupun senang.
Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama berkata sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP mahu semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang.
“Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa PH serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya.
“Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost
