PRN Johor: Terlalu awal untuk bicara isu MB – Maszlee Malik

0
2

BEKAS Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, berpendapat adalah terlalu awal untuk membicarakan tentang calon Menteri Besar bagi Pakatan Harapan (PH) sekiranya pakatan itu mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH dan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, fokus utama kini adalah untuk memenangi PRN Johor terlebih dahulu.

“Terlalu awal untuk bicara isu Menteri Besar. Fokus untuk memenangi PRN dahulu,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.

Maszlee juga menegaskan keputusan akhir untuk urusan pelantikan Menteri Besar Johor adalah tertakluk kepada kuasa mutlak Sultan Johor.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas khabar angin yang mengatakan akan dilantik menjadi Menteri Besar Johor jika PH memenangi PRN Johor.

Maszlee turut merujuk kepada ciapan Ahli Dewan Undangan (Adun) Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi yang melihat beliau sebagai prospek yang berpotensi mengisi jawatan itu.

Najwan berpendapat, seperti mana dalam PRN Melaka PH menamakan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri, PH juga wajar menamakan calon Menteri Besar untuk menarik keyakinan pengundi di Johor.

“Saya cadang agar diletakkan Maszlee Malik sebagai calon dalam PRN Johor dan dinamakan sebagai calon Menteri Besar sekiranya PH diberi mandat,” katanya.

Selain itu, nama Maszlee turut disebut-sebut akan menjadi calon PKR dan bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PRN Johor kali ini.

Beliau dalam ciapan terdahulu, bagaimanapun mengatakan tiada maklumat berhubung akan dicalonkan bertanding dalam PRN Johor, namun mengakui akan akur apa jua keputusan pimpinan parti.

“Saya tiada maklumat tentang apa yang diperkatakan. Saya hanya menurut arahan parti apapun keputusan pimpinan,” katanya.

Maszlee pada 27 November lalu mengumumkan menyertai PKR setelah ebih setahun bergerak sebagai wakil rakyat Bebas dan tanpa parti.

Beliau menyifatkan penyertaan dalam PKR itu ibarat sirih pulang ke gagang apabila mendedahkan pernah didaftarkan sebagai ahli parti itu bagi Cabang Ampang pada 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here