Dakwaan kongsi maklumat akaun: Mahkamah tolak permohonan Najib

0
1

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini sebulat suara menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak terhadap AmBank Holdings Berhad dan dua lagi berhubung dakwaan berkongsi maklumat akaunnya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam menolak tuntutan mahkamah bekas Perdana Menteri itu ke atas bekas jurubank Joanna Yu dan AmBank, lapor Malaysiakini.

Pada 9 Disember 2019, Najib memfailkan writ saman terhadap bekas pengurus perhubungannya Yu dan bank komersial itu, berhubung dakwaan menerima arahan dan mendedahkan maklumat akaunnya kepada Jho Low.

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2020, yang membenarkan permohonan Yu dan AmBank untuk membatalkan samannya terhadap mereka.

Yu adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu melibatkan tujuh pertuduhan.

Pada September 2020, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Khadijah Idris memutuskan tuntutan mahkamah itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia merupakan “serangan” ke atas kes jenayah SRC International yang dihadapi Najib.

Ini kerana dalam saman itu, mahkamah dikehendaki membuat keputusan berdasarkan pengetahuan Najib tentang wang yang dibayar ke akaunnya yang merupakan isu yang sama di hadapan mahkamah jenayah dalam kes SRC International. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here