PARTI Amanah Negara (Amanah) dan PKR masing-masing akan bertanding 20 kerusi, manakala DAP 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengesahkan pengagihan kerusi tersebut yang dimuktamadkan kelmarin namun menjelaskan senarai calon yang bertanding masih dalam proses akhir untuk disahkan.
“Selepas ini, ketiga-tiga parti akan bincang semula memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor.
“Ini termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Keputusan parti lain bersama PH pada PRN Johor akan kita muktamadkan sehari dua ini. PH Johor akan buat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu beliau hadir sarapan bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya.
Mengenai kerusi yang akan ditandingi PH, Mohamad memaklumkan 20 kerusi PKR dan Amanah masing-masing melibatkan kawasan campuran serta majoriti kaum, manakala DAP bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum.
Ditanya berkenaan saranan sesetengah pihak supaya PH bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) bagi berdepan Barisan Nasional (BN) dalam PRN tersebut, Mohamad berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh Majlis Presiden PH.
Mengulas keputusan PKR menggunakan logo sendiri pada PRN Johor, Mohamad menjelaskan ia tidak menimbulkan masalah kerana pakatan pembangkang pernah menggunakan lambang berbeza sebelum ini.
“Perlu diingat pembangkang menggunakan logo berbeza pada Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1990 lagi dan hanya menggunakan logo sama pada PRU14. Pengundi sekarang sudah bijak dan bagi kita, ia bukan masalah pun,” katanya. – Malaysiapost

