SEBANYAK 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual petang ini susulan kejadian paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam, semalam.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian paip pecah itu berlaku berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga.
Menurutnya, berikutan itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut yang akan bermula jam 3 petang ini.
“Justeru, kerja-kerja pembaikan ini akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang.
“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 3 pagi, 27 Januari 2022 dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” menurut kenyataan itu.
Air Selangor memaklumkan, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya. – Malaysiapost

