KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, perlu dipecat susulan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diumumkan Transparency International (TI-M), semalam.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan itu perlu diambil kerajaan kerana kejatuhan lima markah dan 11 anak tangga dalam CPI 2021 berbanding dengan 2019, adalah terburuk dalam sejarah 27 tahun penerbitan CPI.
“Kabinet perlu menolak kenyataan SPRM mengenai skor itu dan juga memecat Azam Baki atas kegagalan dan prestasi buruk beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Masanya telah tiba untuk negara melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang mempunyai KPI (penunjuk prestasi utama) antaranya untuk meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI tahunan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu akan mengkaji hasil skor CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat selain menyeru rakyat untuk meneruskan jalinan kerjasama dalam usaha pencegahan rasuah.
“SPRM mesti diingatkan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya sekadar bersifat untuk menyedapkan hati.
“Dalam skor yang dikeluarkan semalam, Malaysia menduduki tempat ke-62 dengan skor 48 mata, turun 11 anak tangga dan turun lima mata berbanding TI CPI 2019.
“Prestasi dua tahun terburuk SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini sejak TI M memulakan siri CPI tahunannya pada 1995,” katanya.
Prestasi Malaysia itu tidak mengambil kira skandal Azam yang menggegarkan negara selama hampir sebulan, kerana ia merupakan perkembangan yang terlalu baharu untuk dijadikan input dalam CPI 2021.
“Ketua-ketua dalam SPRM harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk negara dalam TI CPI selama dua tahun berturut-turut – 2020 dan 2021.
“Pertama, Azam telah membuktikan bahawa beliau tidak boleh menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti dalam isu pegangan sahamnya dan dakwaan konflik kepentingan yang pertama kali dibuat secara terbuka tiga bulan lalu,” katanya.
Kit Siang berkata, beliau membuat gesaan itu beberapa jam sebelum mesyuarat Kabinet hari ini, supaya Menteri mengambil tindakan sewajarnya. – Malaysiapost

