Pelik bin ajaib, kami pula disiasat – MUDA

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara bagi memberi keterangan berhubung memorandum yang diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen minggu lalu.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah memberi kerjasama yang baik kepada polis.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu kesal kerana memorandum berkaitan enam cara penyelesaian banjir yang diketengahkan parti itu menyebabkan MUDA disiasat polis.

“Pelik bin ajaibnya, kita lakukan (serah) memorandum itu secara aman, di depan Parlimen, kepada Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk membahaskan isu-isu rakyat supaya martabat rakyat dipelihara, isu alam sekitar diberikan keutamaan khususnya pada persidangan khas tersebut.

“Yang pelik bin ajaibnya kita yang disiasat, tetapi yang kita terangkan jalan penyelesaian. Kita serahkan memorandum, enam jalan penyelesaian yang MUDA ingin ketengahkan supaya boleh dipertimbang kerajaan dan pembangkang. Tetapi kami pula disiasat.

“Kenapa tidak disiasat tauke-tauke balak iaitu yang menyebabkan banjir begitu teruk sekali,” katanya kepada media di luar pekarangan IPD Dang Wangi.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyalahkan polis kerana faham pasukan keselamatan itu menjalankan tanggungjawabnya, namun kesal kerana pihak atasan cuba menekan MUDA dengan cara tersebut.

“Hak mangsa banjir wajib dibela. Kerajaan tak buat langkah proaktif masa krisis banjir. Bantuan lambat, koordinasi kucar kacir, rakyat pun merana.

“Tapi kami pula dipanggil untuk disiasat hanya kerana hantar memorandum. Apa pun terjadi, kami akan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here