MAJLIS Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kenaikan harga barang keperluan harian yang naik mendadak ketika ini.
Perkara itu diberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menerusi laman Twitternya yang memaklumkan kerajaan amat prihatin tentang kenaikan harga barang.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat NACCOL dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan terperinci.
“Kerajaan komited memastikan isu ini segera ditangani demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ciapnya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, orang ramai mula tertekan apabila perbelanjaan harian bertambah berikutan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Rata-rata pengguna mengakui perbelanjaan bulanan meningkat antara RM100 hingga RM300 berikutan pertambahan harga yang didakwa bermula hujung tahun lalu dan awal bulan ini. – Malaysiapost

