Anwar gesa SPRM fokus, selesai kes besar

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi fokus terhadap kes besar yang masih belum ada penyelesaian.

Presiden PKR itu berkata demikian susulan pendakwaan yang dilakukan SPRM terhadap pembantu dan bekas pegawai kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa di mahkamah, hari ini.

Menurut Anwar, siasatan SPRM terhadap KR Naveen dan Nico Kam Joo itu dikhuatiri mempunyai motif dendam memandangkan kes-kes lain melibatkan pemimpin besar tidak dipedulikan suruhanjaya itu.

“Saya ikuti isu terkait pegawai serta bekas pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, Naveen dan Nico Kam yang didakwa SPRM.

“Saya merasakan siasatan ke atas kedua-dua individu ini dikhuatiri mempunyai motif dendam tatkala kes-kes lain melibatkan pemimpin-pemimpin besar tidak dipedulikan,” katanya.

Menurut Anwar, lebih mencurigakan apabila ada juga pemimpin lain yang mempamerkan kekayaan melampau, namun tidak pula disiasat atau diambil tindakan.

“Justeru, saya menggesa SPRM untuk memberi fokus kepada kes-kes besar yang masih belum ada penyelesaian setakat ini,” katanya

Terdahulu, media melaporkan, seorang pembantu dan bekas kakitangan Sivarasa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan rasuah.

Naveen, 50 dan bekas kakitangannya, Nico, 24, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi gesaan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk segera menghentikan gangguan dan siasatan kepada penganjur demonstrasi, Sabtu lalu.

Katanya, menyatakan bantahan dan menganjurkan demonstrasi secara aman adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah ini ternyata suatu tekanan terhadap mereka dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini.

“Justeru itu, segala siasatan dan intimidasi terhadap mereka mesti segera dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here