BEBERAPA sekolah di Johor dilaporkan menerima arahan penutupan selama seminggu, dan langkah pencegahan dijalankan di bawah Akta 342.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, berkata sekolah yang ditutup termasuk Sekolah Kebangsaan Larkin 1 dan Kolej Vokasional Tanjung Puteri di Johor Bahru.
“Ini luahan ibu bapa. Minta kepastian mengenai beberapa buah sekolah di Johor Bahru yang baru diarahkan tutup seminggu.
“Sekolah rendah ada, menengah pun ada,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sehubungan arahan penutupan itu, Akmal berkata, beliau sukar mendapatkan pengesahan pihak yang berkaitan berikutan Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri tidak lagi berfungsi kerana Dewan Udangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan, Sabtu lalu.
“Kalau kamu betul prihatin dengan rakyat boleh sahaja buat PRU (Pilihan Raya Umum) cukup penggal nanti.
“Bagi rakyat mulakan balik kehidupan, fokus kepada keluarga, stabilkan ekonomi dulu
“Ini tak, berebut kuasa sesama sendiri sampai bubarkan dewan! Kita bukan hanya bimbangkan keselamatan anak-anak, tetapi masa depan mereka, masa depan negeri Johor,” ujarnya. – Malaysiapost

