SEORANG pemimpin Umno di Selangor hari ini mencabar Bersatu ‘menekan butang’ bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Pusat ditunjangi Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata tindakan itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diadakan.
“Armada PPBM Johor cakap, ‘Alang-alang sudah PRN, baik PRU-15 sahaja’. Komen saya: Ok lah. Bila nak tekan butang? Jangan berani ugut sahaja,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan yang menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai tindakan Umno yang rakus serta tamak kuasa.
Muhammad Shamsuddin juga menyifatkan langkah Umno itu dibuat bagi mengaburi mata rakyat khususnya berkaitan kes ‘Kluster Mahkamah’ yang menjadi tumpuan hari ini.
“Jika inilah sikap Umno, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudah PRN, baik PRU15 sahaja.
“Kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan, kita tengok, lawan tetap lawan, lawan sampai habis,” katanya.
November lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyelar Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad yang mencabar Bersatu menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Muhyiddin menyifatkan cabaran itu sebagai ‘kurang bijak’,jelas berang dengan kenyataan Shahrir yang disifatkan memberi risiko keselamatan rakyat Johor yang mungkin menyebabkan PRN, jika Bersatu menarik sokongan.
“(Cabaran) itu berniat jahat. Shahrir nak macam mana berlaku di Melaka, berlaku di Johor.
“Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor,” kata Muhyiddin. – Malaysiapost

