Kluster mahkamah terdesak paksa PRN Johor diadakan, dakwa Wan Saiful

0
1

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengulangi pendiriannya yang mendakwa pemimpin ‘kluster mahkamah’ ketika ini amat terdesak kerana mahu mengelak hukuman penjara.

Tegas beliau, bermula dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan hari ini diikuti Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kedua-duanya berhadapan dengan penjara atas sebab yang sama iaitu dituduh menyelewengkan wang.

“Hari ini mereka menggunakan parti mereka untuk memaksa Bangsa Johor menghadapi pilihan raya. Mereka tamak mahu membolot kuasa. Tak mahu wujud parti lain yang boleh bagi semak imbang dalam kerajaan supaya kalau ada rasuah boleh disembunyi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Wan Saiful berkata, hari ini mahkamah telah memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Prima facie maksudnya pihak pendakwaan telah menunjukkan cukup bukti untuk menunjukkan kesalahan, dan Zahid sekarang mesti membela diri jika tidak mahu ke penjara,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah agar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid, 69, yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, selepas diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah dan jenayah yang dihadapinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here