Anak saudara, bekas staf dituduh, Sivarasa dakwa wujud salahguna kuasa

0
1
https://www.facebook.com/sivarasa.rasiah.malaysia/posts/472125850952915

AHLI Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa mendakwa pendakwaan terhadap dua individu, iaitu staf serta bekas staff pusat khidmatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu penyalahgunaan kuasa.

Pemimpin PKR itu berkata kes itu telah disiasat hampir empat setengah tahun lalu dan sepatutnya ditutup kerana tiada apa-apa tindakan oleh SPRM untuk membuat pendakwaan mendakwa selepas siasatan.

:Kes ini memang tidak berasas. Kes ini hanya dihidupkan selepas saya bangkitkan isu pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM bulan lepas di Parlimen.

“Inilah kes balas dendam terhadap saya dan staf saya telah dijadikan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu FMT melaporkan dua individu termasuk seorang anak saudara Sivarasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing sebuah syarikat.

Bagaimanapun, anak saudara Sivarasa, Naveen Kularasa Rasiah dan bekas pekerjanya, Nico Kam Jo Hoe mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh sebutan kes Naveen dan Nico Kam pada 24 Februari dan kedua-duanya dibenar diikat jamin RM10,000 seorang hari ini.

Dalam pertuduhan pertama, Naveen dan Nico Kam pada 17 September 2017 di Restoran Maluri Kuala Lumpur secara bersama meminta rasuah RM55,000 daripada syarikat Dyna Maintenance Services Sdn Bhd, milik warga asing, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kepada pihak imigresen.

Mono dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Dalam pertuduhan kedua, secara bersama-sama Naveen dan Nico Kam pada 19 September 2017 di Kuala Lumpur bersetuju menerima RM45,000 daripada Mono melalui Nico Kam.

Rasuah itu diterima sebagai dorongan untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Pertuduhan ketiga, pada 21 September 2017 di Restoran Habeeb Jaya, Taman Maluri, Cheras, dengan niat bersama menerima RM20,000 daripada Mono untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Ketiga-tiga pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – Malaysiapost

Sumber Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here