UMNO akan menerima apa sahaja keputusan dan perkenan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sultan Johor mempunyai titah perkenan muktamad sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan nasihat Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad mengenai pembubaran itu.
“Pada hemah saya kita tidak boleh mendahului kuasa yang dipegang melalui Perlembagaan sesebuah negeri, dalam konteks ini Sultan Johor mempunyai titah perkenan muktamad.
“Sama ada bersetuju atau sebaliknya dengan nasihat Ketua Eksekutif negeri iaitu Menteri Besar Johor untuk memberi nasihat kepada Sultan Johor untuk pembubaran DUN dilakukan atau sebaliknya.
“Namun sebagai sebuah parti yang menjadi komponen kerajaan negeri Johor, apa sahaja keputusan dan perkenan daripada Tuanku akan kita ikuti,” katanya dalam program bual bicara di portal NRChannelTV, malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selebihnya bagi proses politik akan mematuhi sebagaimana yang digaris pandukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu ditanya sama ada pelaksanaan PRN di beberapa negeri pimpinan BN ini adalah strategi Umno, beliau menafikannya dan menegaskan ia tidak dapat dielakkan.
“Tidak. Kita tidak bermaksud menyusahkan rakyat walaupun mandat baharu harus diperolehi, namun situasi di Melaka tidak dapat dielakkan kerana berlaku perselingkuhan politik
“Di Johor kedudukan kerajaan sekarang mempunyai 28 kerusi berbanding dengan 27 kerusi pihak pembangkang, bermakna mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja.
“Tentunya Menteri Besar Johor mempunyai pertimbangan sendiri dan mereka tentunya secara rasmi akan mengadakan perbincangan dengan BN negeri Johor dan Perhubungan negeri Johor,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, hasil perbincangan itu juga sudah dilaporkan kepada kepimpinan parti.
“Mereka telah memberikan dapatan Sains dan data kepada Biro Politik Umno dan Menteri Besar Johor juga saya telah jemput untuk berikan penjelasan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Maka kita dengar dengan teliti biarpun begitu keputusan muktahir Tertakluk kepada perkenan Sultan Johor,” katanya. – Malaysiapost
Malaysiapost sebelum ini melaporkan spekulasi mengenai PRN Johor hampir pasti apabila DUN dikatakan akan dibubarkan esok.
Sumber dalaman Umno mengesahkan surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN. – Malaysiapost

