
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan atau tidak bergantung kepada Badan Perhubungan Negeri berkenaan.
Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, sebagaimana yang diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini, ia diserah sepenuhnya kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad selepas mendapat perkenan Sultan Johor.
“Jadi kita serahkan kepada Johor untuk menentukan sama ada pilihan raya atau tidak, tarikh dan sebagainya.
“Kalau pilihan raya cepat maka persediaan itu hanya Umno Johor yang tahu sejauh mana persediaan mereka,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, hari ini.
Ismail berkata, Umno perlu bersedia di seluruh negara untuk menghadapi sebarang pilihan raya dan bukannya hanya di Johor.
“Saya sebutkan tadi bukan saja di Johor tapi seluruh negara, Umno sentiasa perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila saja diadakan. Sama ada lambat atau cepat, parti perlu bersedia.
“Usaha mendekati rakyat perlu dilakukan setiap masa dan yang pentingnya pengundi muda yang baru didaftarkan perlu kita dekati terutama sayap Pemuda dan Puteri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai perbincangan isu kerjasama antara Umno dan Pas Kelantan petang ini, Ismail Sabri berkata ia terpulang kepada Umno Kelantan untuk menentukannya.
Katanya, ini kerana hubungan antara Umno dan Pas setiap negeri mempunyai keperluan dan kehendak politik berbeza dan disebabkan itu, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh negeri masing-masing.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada Umno Kelantan untuk membuat keputusan sebab seperti saya kata, setiap negeri ada situasi politik berbeza dan kehendak berbeza.
“Saya percaya oleh kerana banyak keperluan berbeza, saya serahkan kepada Umno negeri dan saya maklum kepada Datuk Ahmad Jazlan supaya membuat keputusan demi kepentingan Umno,” katanya. – Malaysiapost
