BEKAS Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz membantah keputusan kerajaan bagi membenarkan penglibatan guru dalam politik kerana mendakwa langkah itu akan menghakis sistem pendidikan negara.
Menurutnya, keputusan membenarkan guru di semua peringkat terlibat dalam politik berkuat kuasa serta-merta, amat membimbangkan kerana berkemungkinan membawa anasir negatif kepada pelajar.
“Kebenaran tanpa peraturan yang munasabah ini sudah tentu akan menimbulkan persoalan dan kebimbangan.
“Meskipun ramai guru yang berdedikasi dan komited dengan tugas mereka, namun saya tetap bimbang sesetengah daripadanya mungkin menyebarkan propaganda politik kepada pelajar, sekali gus tidak baik untuk pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah itu juga akan menyebabkan golongan muda mudah terpengaruh dengan pandangan yang tidak selaras dengan entiti politik tertentu dan menghakis nilai murni di kalangan pelajar serta asas perpaduan negara.
“Walaupun individu wajar diberikan hak menyertai aktiviti politik, ia perlu dilakukan sebagai warganegara agar tidak mencetuskan masalah dalam masyarakat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan hari ini mengumumkan golongan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan ini dilarang menyertai kegiatan politik. – Malaysiapost

