UMNO setakat ini tidak mendapat apa-apa permohonan rasmi daripada mana-mana parti di luar komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjalinkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan itu pihaknya tidak boleh membuat sebarang komen atau keputusan mengenai perkara itu.
Beliau berkata, bagaimanapun Umno sudah bersedia menghadapi PRN itu termasuk melalui sesi ‘latihan’ dalam PRN Sabah dan Melaka sebelum ini.
“Sudah pasti BN akan bertanding jika PRN berlaku. Bagaimana kaedah itu kita ada masa lagi untuk membincangkan.
“Jadi setakat ini saya selaku Setiausaha Agung Umno tidak mendapat apa-apa permohonan rasmi daripada parti-parti di luar komponen BN,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas bersama 26 Ketua Bahagian Umno di Bangunan Umno Johor, hari ini.
Beliau berkata, dari segi persiapan minda dikalangan ahli dan kepimpinan di Ibu Pejabat Umno memang sudah menjangkakan lambat laun PRN Johor akan berlaku.
“Oleh itu segala perkara yang sewajarnya dibuat dari segi persiapan dan juga program aktiviti, sama ada kita umum atau tidak.
“Ini bagi menghadapi lebih kurang 700,000 pengundi baharu (di Johor) yang terdiri daripada dua kumpulan iaitu umur 18 hingga 20 tahun dan umur 21 tahun ke atas,” katanya.
Menurutnya, pertambahan pengundi itu memang sesuatu yang mencabar tetapi dalam politik ia adalah perkara yang perlu dihadapi, malah ia bukan sahaja mencabar kepada Umno tetapi juga pada parti-parti lain
“Tidak semestinya apabila kita sebut pengundi muda ia akan menyokong pembangkang.
“Angka yang ada pada saya ialah 5.7 juta pengundi baharu yang didaftar sebagai pengundi membabitkan 1.2 juta pengundi berusia 18 tahun dan 4.5 juta lagi pengundi baharu berusia 21 tahun ke atas,” katanya.
Sementara itu, kemenangan besar dalam dua PRN sebelum ini iaitu di Melaka dan Sarawak tidak bermakna BN terlalu yakin dalam PRN Johor dan sebab itu persiapan telah dibuat lebih awal lagi.
“Melaka, BN memang 75 peratus di Sarawak Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 92 peratus, tetapi ia bermakna di Johor kita terlalu yakin.
“Kita sudah berlatih di Sabah dan Melaka. Saya nak maklumkan apabila kita membawa jentera-jentera dari negeri lain sebagai jentera angkat sebenarnya ia adalah latihan praktikal yang penting kepada kami,” katanya. – Malaysiapost

