SERAMAI 87 pelajar Kolej Vokasional di Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka disahkan positif Covid-19.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata Jabatan Kesihatan Melaka turut mengesan penularan di kedua-dua kolej tersebut.
Menurutnya, jumlah itu meliputi 76 pelajar dari Kolej Vokasional di Melaka Tengah, manakala baki dari Kolej Vokasional di Alor Gajah.
“Setakat ini, hanya Kolej Vokasional di Melaka Tengah ditutup kerana membabitkan kluster.
“Sebuah lagi Kolej Vokasional terbabit masih dalam siasatan dan kemungkinan ditutup itu ada, namun bergantung pada hasil siasatan.
“Jika hasil siasatan mendapati ia perlu ditutup, maka kita akan tutup. Hingga hari ini, tiada lagi yang bergejala,” katanya.
Beliau berkata, semua kontak rapat kes di Kolej Vokasional di Melaka Tengah yang membabitkan Kluster Tun Telani sudah disaring dan keputusannya adalah negatif.
“Bagi kluster ini, seramai 455 pelajar, guru serta warden disaring dan 176 kontak rapat dikenal pasti.
“Bagi kluster pendidikan di Jasin, lebih 500 individu termasuk pelajar, tenaga pengajar dan staf sokongan sudah menjalani ujian saringan,” katanya. – Malaysiapost

