MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan untuk mengkaji lebih mendalam mengenai peralihan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya bagi mengelak ia menjadi bebanan kepada pengguna.
Pengerusinya, Abdul halim husin, berkata difahamkan dari segi teknologi, sistem RFID ini lebih baik dan lebih murah serta merupakan satu bentuk perubahan yang harus dilakukan.
“Namun proses peralihan ini telah banyak menimbulkan kekecewaan pelbagai pihak dan tidak memberi kesan yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, ia juga menimbulkan persoalan yang perlu dijawab oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go (TnG) yang memonopoli perkhidmatan ini.
“Adakah wajar harga pelekat RFID sebanyak RM35? Jika satu juta kenderaan yang perlu membayar kos pelekat ini, bermakna hasil TnG bertambah 35 juta serta merta!
“Hakikatnya pengguna SmartTAG tiada pilihan dan sewajarnya pihak PLUS, TnG dan kerajaan menanggung sepenuhnya kos peralihan setiap pengguna SmartTAG untuk beralih menggunakan sticker RFID,” katanya.
Malah, katanya, pihak PLUS juga wajar untuk terus membuka lorong SmartTAG untuk memberi masa kepada pengguna lebuh raya beralih ke sistem RFID.
“Ini juga harus dilakukan oleh pemegang konsesi lebuh raya lain di Lembah Klang.
“Jadi, sebagai syarikat milik kerajaan yang memonopoli industri ini, keuntungan tidak sepatutnya menjadi objektif utama.
“Maklum balas dari pengguna dan keselesaan rakyat sepatutnya diutamakan untuk mengukur kejayaan yang diharapkan dengan kenaikan taraf yang berskala besar seperti ini. Rakyat perlu diutamakan bukan keuntungan korporat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MTEM turut mencadangkan kepada TnG, selain daripada menukarkan peranti SmartTAG kepada pelekat RFID, rebat ‘e-wallet’ juga wajar diberikan sebanyak RM100 untuk menggantikan kos peranti yang telah dibeli oleh pengguna sebelum ini dan langkah itu barulah adil untuk rakyat.
“Sehubungan itu, selaras dengan slogan Keluarga Malaysia yang dilaungkan, kerajaan wajar kaji dengan lebih mendalam tentang perkara ini dan keutamaan harus diberikan kepada kebajikan pengguna lebuh raya dan rakyat Malaysia sendiri,” katanya. – Malaysiapost

