DAP gerun PRN Johor

0
1
Logo DAP

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP kini gerun jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, parti itu bimbang pihaknya mungkin akan kalah teruk buat kali ketiga berturut-turut selepas Melaka dan Sarawak.

“Mereka juga bimbang ia memberi peluang kepada kebangkitan MCA seperti mana di Melaka dan PRK Tanjong Piai. MCA boleh rampas beberapa kerusi daripada 14 milik DAP sekarang,” katanya.

Dengan melihat situasi itu, beliau berkata, sudah tentu pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang individu yang paling gerun kerana jika mereka kalah lagi di PRN Johor, ia bermakna dirinya semakin tidak relevan dan politiknya ‘outdated’.

“Malah, PRN Johor akan mempercepatkan PRU ke-15. Ini paling DAP tidak suka kerana parti itu masih bernafas dalam lumpur. Badi kalah di Melaka dan Sarawak amat menghantui DAP,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan menyatakan tidak menolak keperluan bagi mengadakan PRN Johor tetapi pada masa sama mengakui tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, apabila kerajaan negeri memiliki majoriti amat tipis, pihaknya perlu lebih sensitif terhadap kestabilan kerajaan.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), manakala Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here