PEMIMPIN kanan DAP tidak berpuas hati dengan keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang melepaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada tuduhan melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan keputusan SC itu kerana Azam dilapor secara terbuka dan jelas mengakui membenarkan adiknya, Nasir Baki menjalankan akaun dagangan milik dirinya untuk membeli saham berkenaan.
“Bagaimana SC boleh melaksanakan kewajipan statutori jika SC tidak dapat mengesahkan bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) sedangkan Azam secara jelas dan terbuka mengakui bahawa dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi?
“Selain itu, SC juga tidak menjelaskan mengapa Azam tidak melanggar SICDA atau dari mana dia mendapat dana untuk membeli saham-saham berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini suruhanjaya itu telah mengenakan tindakan terhadap pihak yang menggunakan akaun perdagangan secara proksi, jadi ini menunjukkan ‘dwistandard’ dan disifatkan tidak adil.
“Sebagai contoh, katanya, pada 2011, SC telah mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 terhadap seorang individu kerana membenarkan orang lain berdagang saham menggunakan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) miliknya.
“Ini jelas dwistandard. Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah mereka bayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?
“Melainkan SC boleh bertindak terhadap Azam, (di bawah) Seksyen 25(4) Sicda lemah dan tak berguna,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menggesa SC menjelaskan keputusan berkenaan.
“Kenyataan satu baris daripada SC tidak mencukupi. Jelaskan butirannya kepada umum.
“Jelaskan siapa yang dipanggil untuk membantu siasatan, apakah yang didedahkan dalam siasatan itu, apakah kesan terhadap bukti dalam undang-undang yang terpakai, dan mengapa anda tidak dapat membuat kesimpulan sama ada berlaku pelanggaran.
“Alasan harus diberikan untuk menyokong sebarang keputusan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan SC itu menjelaskan mengenai keperluan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan pendengaran berhubung kontroversi pemilikan saham Azam.
“SC juga harus dipanggil untuk membantu dan menjelaskan pendirian mereka pada pendengaran itu,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat PSC dijadualkan esok telah ditangguhkan selepas Azam membantah agenda mesyuarat berkenaan.
Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen pula mendakwa kemungkinan Azam berbohong mengenai isu berkenaan.
“Jadi SC mendakwa bahawa mereka tidak boleh secara konklusif ‘membuktikan pelanggaran’.
“Yang pada asasnya mengesahkan bahawa Azam kemungkinan besar menggunakan akaunnya sendiri untuk membeli saham tersebut, bukan adiknya. Dan berbohong mengenainya,” ciapnya di Twitter. – Malaysiapost

