PERSATUAN Aktivis Sahabat Alam (KUASA) menegaskan pembalakan dan kemusnahan ekosistem hutan di sekitar Kampung Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang Kelantan adalah punca utama serangan harimau ke atas manusia.
KUASA dalam kenyataannya di Facebook berkata, perkara itu dibuktikan dengan hasil selidik daripada temu ramah bersama penduduk kampung terbabit termasuklah anak mangsa serangan harimau yang meninggal dunia baru-baru ini.
“Serangan harimau di Pos Bihai bukanlah sekali dan di satu tempat sahaja. Tetapi berkali-kali. Kejadian pertama bermula di Kampung Badak pada Julai 2021 apabila seorang lelaki cedera parah ketika sedang menoreh getah di kampungnya.
“Selepas itu, terdapat beberapa serangan berlaku antara November 2021 sehingga kemuncaknya baru-baru ini.
“Hasil daripada temuramah dan dapatan kami, terdapat satu kawasan luas yang telah dibalak ( 4°59’31.51″N , 101°38’1.43”E) dan Orang Asli mendakwa pembalakan ini dilakukan secara tebang habis untuk Projek Pembukaan Ladang Getah TLC.
“Kawasan terbabit didakwa telah dibalak sejak setahun yang lalu. Hasil daripada tinjauan kami menggunakan dron, kawasan pembalakan ini lebih kurang 1 hingga 2 km (kilometer) daripada kampung Kampung Tendrik (5° 0’31.35”N, 101°37’52.67″E) (tempat kami menaikkan dron),” katanya.
KUASA mengulas perkara itu bagi membidas penafian Jabatan Perhutanan Kelantan yang kononnya aktiviti pembalakan di kawasan itu bukan punca serangan harimau.
Menurut KUASA, bukan sahaja Pos Bihai diserang harimau tetapi membabitkan kampung lain juga.
“Kampung Tendrik, Bayur ( 5° 0’19.29”N, 101°39’33.76”E) dan Remau terletak lebih kurang 1-2 km sahaja daripada kawasan pembalakan.
“Dan, jika lima hingga enam km dari kawasan pembalakan pun, bukankah radius pergerakan/koridor harimau minimum 50-100 km2 atau lebih kurang radius 7-14 km? Masih lagi ia di dalam kawasan keliaran mereka,” katanya.
KUASA berkata, penduduk juga mendakwa terdapat dua atau tiga kawasan pembalakan dalam radius sehingga 10 km daripada kawasan penempatan mereka.
“Penduduk Orang Asli juga mendakwa terdapat kawasan keliaran dan habitat harimau dari arah kawasan pembalakan – di kawasan pergunungan atau gua di mana mereka sering terjumpa tapak harimau ketika mencari hasil di hutan.
“Pembalakan yang berlaku di Pos Bihai di dalam Hutan Simpan Perias dikatakan oleh penduduk kampung adalah jenis pembalakan secara tebang habis.
“Maksudnya hutan tersebut dibalak sehingga botak, kemudiannya ditanam semula dengan pokok getah TLC (pokok satu jenis sahaja).
“Jadi, apabila hutan ditukar kepada ladang-binatang apa yang boleh tinggal di situ mencari makan?,” katanya.
Sehubungan itu, KUASA mempersoal bagaimana JPNK dan kerajaan negeri boleh meluluskan konsesi pembalakan sebegini di dalam kawasan hutan simpan yang masih kaya biodiversitinya.
“Walaupun sejarahnya ia pernah dibalak (secara tebangan memilih), tetapi hutan itu sudah kembali pulih sebagai hutan sekunder dan ekosistemnya masih ada untuk menampung habitat harimau.
“Kami juga hairan, di dalam pelan/peta pengkelasan Hutan Simpanan Kekal Negeri Kelantan, kawasan terbabit bukanlah zon ladang TLC, sebaliknya ia hanya kawasan hutan pengeluaran yang hanya membenarkan pembalakan secara tebang memilih/selective management system (SMS) sahaja.
“Respon kerajaan negeri dan JPNK terhadap isu ini amatlah mendukacitakan sehinggakan kebanyakan netizan sudah tidak mempercayai kenyataan pemimpin kerajaan negeri dan JPNK,” katanya. – Malaysiapost

