YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara, Serbegeth Singh yang meninggal dunia, semalam.
Menerusi kenyataan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut Istana Negara, mendiang semasa zaman kegemilangannya pernah bermain di posisi pertahanan dan beraksi buat skuad kebangsaan bermula dari 1982 hingga 1991.
Mendiang pernah beraksi dalam tiga Kejohanan Sukan Asia pada 1982, 1986 dan 1990 dan pernah memenangi pingat emas ketika Sukan SEA 1989.
Mendiang pernah beraksi bersama skuad bola sepak negeri Pahang pada era 80-an. Mendiang juga pernah beraksi bersama pasukan Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.
Mendiang juga merupakan generasi emas skuad Kuala Lumpur ketika membantu pasukan ibu kota memenangi hatrik Piala Malaysia dari tahun 1987 hingga 1989.
Selepas bersara sebagai pemain, mendiang pernah berkhidmat sebagai Penasihat Global di Blackburn Rovers pada tahun 2012. – Malaysiapost

