‘Kisah sedih subuh tadi…’ – Uncle Kentang

0
1

AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang berkongsi kisah sedih dilaluinya subuh tadi ketika membantu seorang pemuda yang baharu sahaja kematian ibu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Uncle Kentang berkata, remaja berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu datang dari Kuala Lipis, Pahang untuk membawa ibunya yang sakit untuk berubat di Petaling Jaya.

Menurut Uncle Kentang, bagaimanapun ibu pemuda itu meninggal dunia di sebuah hotel di Puchong menyebabkan lelaki itu sugul kerana tidak mempunyai wang untuk mengurus dan membawa pulang jenazah ibunya.

“Aku bergegas ke masjid subuh pagi, sedih melihat wajah seorang anak muda, kepala tersandar di tiang masjid, pucat dan sedih. 

“Beliau umur 22 tahun kerja ‘security guard’, bawa mak dari Kuala Lipis  berubat di Petaling Jaya, tiba-tiba mak meninggal dunia dalam hotel,” tulisnya dalam hantaran itu.

Uncle Kentang berkata, lelaki itu memohon bantuan Masjid Bukit Puchong untuk menguruskan jenazah ibunya.

“Laporan polis sudah dibuat. Beliau pergi ke Masjid Bukit Puchong mohon bantuan subuh-subuh pagi untuk urus jenazah maknya pulang. En Miswan dari Bukit Puchong call saya untuk bantu.

“Pakai seluar pendek dan belum mandi, saya bergegas ke Bukit Puchong (lihat) wajah anak sedih,  lemah longlai tak bermaya kerana mak meninggal dunia. Siapa yang tak sedih, poket pun bukan ada duit banyak,” katanya.

Justeru, pihaknya memberi sumbangan RM1,000 wang saku selain membayar semua kos pengurusan jenazah termasuk van jenazah.

“Bab kubur, mak ada khairat kematian, orang kampung uruskan. Kami akan ke Kuala Lipis hantar jenazah mak pemuda itu.

“Dunia kita ini sementara… aku dengan tak mandi dan pakai seluar pendek mohon maaf dengan kawan kawan di masjid.

“Kerana aku hadir untuk menenangkan perasaan sedih seorang anak muda, aku tahu betapa pedih hati kalau mak meninggal dan poket kosong. 

“Doakan kami selamat pergi Kuala Lipis dan selamat pulang,” katanya.

Menerusi ruangan komen dalam hantaran itu, rata-rata netizen daripada pelbagai kaum berterima kasih kepada aktivis masyarakat itu kerana sering membantu individu dalam kesusahan tanpa mengira agama dan bangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here