JALINAN kerjasama pertahanan antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Jerman (TLJ) diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX).
TLDM dalam kenyataan berkata, kerjasama itu sebagai pendekatan efektif dalam menyemarakkan hubungan baik sedia terjalin dengan semua negara sahabat.
Menurut kenyataan itu, jalinan kerjasama berkenaan julung kalinya diadakan bersama TLJ di perairan Selat Melaka pada 12 Januari lalu.

“Objektif PASSEX adalah untuk memperkasakan ‘interoperability’ melalui kaedah perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.
“Kedua-dua angkatan laut mempamerkan komitmen dan kesefahaman yang jitu menerusi penglibatan tujuh aset oleh TLDM iaitu KD Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang serta helikopter Super LYNX.
“Manakala TLJ memperagakan dua aset iaitu FGS Bayern serta helikopter Sea LYNX. Turut terlibat menjayakan latihan adalah Fast Combat Boat TLDM,” menurut kenyataan itu, hari ini.
TLDM berkata, objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan sail past.
Katanya, kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.
“Terdahulu aset TLJ ini sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
“Aset TLJ ini seterusnya dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari 2022 setelah selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan.
“Selain komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat.
“… dalam memacu ketersediaan warga bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa,” katanya. – Malaysiapost

