POLIS telah memulakan siasatan terhadap Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang terlibat dalam program penyerahan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata kes tersebut disiasat di bawah kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Kumpulan itu disertai antara 20 hingga 30 peserta, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan polis.
“Pasukan polis dari IPD kami sudah merakam keterangan daripada pihak penganjur dan peserta yang telah menyertai mereka bermula semalam (Isnin),” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata, proses merakam percakapan daripada kesemua individu yang telah dikenalpasti menyertai himpunan itu akan diteruskan secara berperingkat.
“Polis sangat berharap mereka dapat memberikan kerjasama baik bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya siasatan lebih teliti dilakukan oleh badan bebas terhadap Azam di Bangunan SPRM Putrajaya, Isnin lalu.
Penyerahan memorandum itu dilakukan susulan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memiliki saham bernilai jutaan ringgit. – Malaysiapost

