SABAH mencatatkan perkembangan membimbangkan terhadap kes baharu jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak di negeri itu.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata 20 peratus atau 50 daripada 253 kes baharu yang dilaporkan di negeri itu semalam membabitkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Justeru, katanya, beliau berharap semua ibu bapa dan juga guru dapat mengambil langkah serta inisiatif supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan ke atas mereka yang masih belum layak menerima vaksin.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata Sabah merekodkan empat kes kematian dengan masing-masing satu kes di Tawau, Pitas, Tambunan dan Kota Belud.
“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 288 orang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih seramai 235,692 orang.
“Seramai 748 pesakit menerima rawatan iaitu 419 orang di hospital, 327 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya. – Malaysiapost

